Aug 28 2009

ustazah-engineer

Sebat Menjadi Debat, Kita Take Part

Filed under Isu Semasa


Harap saya tidak terlewat untuk melontar pandangan berkaitan isu sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor baru-baru ini. Pelbagai pihak telah menebarkan pandangan masing-masing dari pelbagai dimensi. Ada yang memuji, mengkritik, mencemuh dan mempersoalkan akan relevennya peruntukan undang-undang sebat syarie ke atas model sambilan terbabit.


Walau sebanyak manapun pandangan tersebut, hanya ada dua yang membezakan sudut pandang masing-masing.


Pertama, pandangan dari yang bercita-cita mahu melihat syariat Islam tertegak di Malaysia. Kedua, pandangan dari yang bercita-cita sebaliknya.


Kita sangat meraikan pandangan dari ulama’ dan golongan agama lain. Namun begitu amat menyedihkan, mereka tidak menjadi golongan yang mempunyai autoriti besar untuk menerangkan kepada masyarakat apabila berlaku isu-isu Islam sebegini.


Bukan mulut mereka yang tertutup rapat tetapi kenyataan mereka telah ditutup rapat dari diketengahkan kepada khalayak secara meluas, tepat dan jelas.


Maka, siapakah yang mempunyai autoriti bersuara?


NGO Sisters In Islam, menteri-menteri dan pihak-pihak yang mempunyai kuasa untuk kenyataan mereka didedahkan. Amat malang sekali, kenyataan yang pincang dan songsang begitu yang menjadi halwa telinga dan tatapan mata masyarakat yang tidak tahu dan faham Islam.


Lihat sahaja di dada akhbar dan sumber media lain, bagaimana kenyataan mereka mendominasi malah menjadi tumpuan utama sungguhpun berbau persepsi negatif tentang Islam. Persepsi negatif tersebut berselindung di sebalik alasan mahu menjaga nama Islam dan imej negara. Masyarakat semakin dikelirukan dengan putar belit tali barut liberalis atas nama keadilan dan hak asasi manusia.


Saya mengungkit kembali kenyataan SIS. Kata mereka, sebat tersebut mendiskriminasi wanita dan bercanggah dengan hak asasi kemanusiaan. Persepsi positifnya; mereka mahu membela wanita. Itu tindakan yang benar dan betul dan masyarakat menyambut baik.


Sebaliknya, terselindung persepsi negetif tentang Islam iaitu undang-undang syariah tidak berupaya membela wanita sebaliknya berunsur zalim dan penindasan. Persepsi negatif ini dilindungi di sebalik subjek alasan pembelaan dan keadilan wanita.


Sebenarnya, sudah banyak respon balas yang dihujahkan oleh golongan agama. Kita menyambut baik wibawa ilmu mereka. Meskipun begitu, saya percaya, golongan yang menolak secara halus undang-undang syariah ini pasti akan mencipta pelbagai alasan lagi. Selagi ideologi mereka tidak kesampaian, selagi itulah mereka akan mencipta alasan, sekalipun alasan itu alasan bodoh.


Tiada pakar yang mahir merotan? Tidak menjumpai rotan yang sesuai?. Saya tidak pasti, adakah dua alasan ini alasan yang sangat, sangat, sangat releven untuk gagasan hebat 1 Malaysia. Mungkin mereka belum habis ronda 1 Malaysia untuk mencari perotan dan rotan yang sesuai.


Pada pandangan saya, inilah masanya untuk para aktivis Islam berada di belakang ulama’ untuk mengangkat isu ini di tengah-tengah masyarakat Islam dan bukan Islam.


Jadikan isu ini sebagai gelombang kecil untuk pelaksanaan undang-undang syariah di Malaysia. Kita kurang media, apalagi, mulut kitalah yang harus digerakkan menjadi media.


Perkara yang perlu dijelaskan bukan sahaja seputar bahaya arak dan kelebihan hukum Islam. Satu perkara yang perlu dijelas bersama ialah propaganda liberalis untuk menyekat pelaksanaan undang-undang syariah di Malaysia. Propaganda mereka semakin mengelirukan.

No responses yet

Aug 27 2009

ustazah-engineer

Mengejar atau Terkejar-kejar

Filed under Doktor Hati, Tarbiyah


Sehingga artikel ini ditulis, Ramadhan sudah memasuki hari yang kelima. Hari kelima Ramadhan perlu lebih baik dari hari yang keempat. Begitu juga hari yang keenam dan seterusnya, perlu lebih baik dari hari ini.


Ramadhan kelima, bermakna ruang dan masa ibadah sudah memasuki fasa kelima kali ganda. Bukan pada kuantiti, bahkan pada kualiti. Ia menepis sikap salah faham individu yang menyingkapi Ramadhan dengan mengejar ‘banyak pahala’ dengan mengejar ‘banyak ibadah.’


‘Banyak ibadah’ memang dapat dikejar tetapi akhlak, adab, cara, sistem dan uslub yang dirangkum dalam satu perkataan iaitu ‘kualiti’ dibiar keciciran. Maka, ibadah tidak menghasilkan kesan dihati atas sifat tidak berhati-hati dan teliti dalam memenuhi tuntutan ibadah yang sebenar.


Mengejar ibadah dalam keadaan terkejar-kejar. Ini yang sering terlihat dalam majlis tadarus al-Quran mahupun membaca al-Quran secara individu. Masing-masing meletakkan tekad untuk khatam al-Quran dalam jangka masa tertentu.


Justeru, terlihatlah pelbagai kelajuan dalam proses pembacaan untuk mencapai khatam itu. Ada yang kelajuan membacanya di luar kebiasaan. Ada yang membaca secara luar biasa. Perihal adab membaca diletak ke tepi, tajwid dan tartil entah ke mana, yang penting matlamatnya khatam.


Awas dengan silap faham tentang ‘mengejar ibadah’ ini. Mengejar bukan dengan terkejar-kejar untuk melengkapkan ibadah, tetapi proses melengkapkan diri. Untuk melengkapkan diri, seluruh sifat seorang ahli ibadah itu yang harus diterapkan sepanjang proses pengamalan itu. Teliti, berhati-hati, tersusun, betul, cermat, khusyu’, tawadhu dan lain-lain sifat.


Begitulah dengan aktiviti tadarus atau membaca al-Quran. Teliti dan berhati-hatilah. Kuasailah adabnya. Baca dengan bertajwid dan bertartil. Biar lambat habis atau tidak berjaya khatam. Itu lebih baik dari khatam tetapi tidak menghasilkan sedikit pun pahala, beribadah dalam keadaan sia-sia dan menambah dosa sebab salah membaca.


Ingat bahawa al-Quran juga mempunyai satu kuasa. Kuasa melaknat kita!

No responses yet

Jul 20 2009

ustazah-engineer

Antara Berat Isi, Berat Tulang & Berat Hati

Filed under Ngomel sket

Kurus dan Gemuk

Kurus dan Gemuk


38.7 kg! Terkejut saya sambil memandang muka suami ketika melihat nilai tersebut pada alat timbangan. Berat badan saya semakin susut nampaknya. Sebelum berkahwin dulu, sampai jugalah 41 kg. Sebulan selepas kahwin berat turun hampir 3 kg. Tetapi ramai yang kata saya kelihatan lebih berisi berbanding dulu. Entahlah, mana satu yang betul. Yang pasti, saya semakin risau. Suami lebih lagi.


Dulu, sebelum kahwin, ramai sahabat saya kata, “Jangan risau, lepas kahwin nanti gemuklah tu!” saya jawab, “Aku taknak gemuk, berisi tu ok.” Waktu itu, saya sibuk mencari supplement untuk naikkan berat badan. Daripada pil vitamin menambah tenaga, pil meningkatkan selera makan sehinggalah weight gain saya mencubanya.


Tetapi sekarang, jangan kata hendak gemuk, berisi pun tidak. Jangan kata hendak naikkan berat isi, berat tulang saya pun hanya 1.7 kg! Kata ahli farmasi semasa pemeriksaan kesihatan tempoh hari, “Kamu kena dapatkan berat tulang lebih daripada 2.5 kg untuk kesihatan yang ideal. Tulang kamu kecil sangat”.

Aduh, kalau begini, antara berat isi dan berat tulang, saya pilih berat hati!


Saya ini bukan kuat makan orangnya. Nak kata jaga makan pun tidak. Sedikit sebanyak, perangai saya ini terkena tempias pada suami. Selalu saya berleter pada suami, “Abang kena jaga makan. Jangan makan banyak sangat sebab sayang taknak tengok abang gemuk dan perut buncit!.”


Suami gelak bila saya kata begitu. Katanya, susah nak jumpa orang lelaki yang tidak berisi badan dan perutnya lepas berkahwin. Saya bukan apa, takut saiz badan saya dan suami tidak sepadan. Kata orang, biar ‘Duduk sama berisi, berdiri sama serasi’.


Makan banyak kali boleh, tapi setiap kali makan ambil sikit sahaja. Maksudnya, makan sikit,” pesan saya lagi sambil berkongsi tips sihat yang sempat saya baca di ofis hari itu.


“Tapi makan sikit ni ada dua maksud,” balas suami. “Satu makan sikit iaitu makan dengan kuantiti sedikit. Satu lagi makan sikit, ‘sikit-sikit…makan!, sikit-sikit…makan! Jadi makan sikit pun tetap gemuk,” suami berseloroh.


“Jaga makan pun ada dua maksud,” saya pula cuba membuat jenaka. “Satu jaga makan dalam erti kata menjaga diet pemakanan. Jaga makan yang kedua ini bahaya; ‘asal jaga je…makan!, asal jaga je… makan,” jawab saya dan suami tersenyum lebar.


Akhirnya, saya buat keputusan. Daripada saya pening-pening fikir macam mana hendak gemukkan badan dan takut suami gemuk, lebih baik saya berfikir akan gemuk yang kedua ini.


Kalau ‘makan sikit’ ada dua maksud, ‘jaga makan’ pun ada dua maksud, bagi saya gemuk pun ada dua maksud. Satu, gemukkan badan, kedua gemukkan iman.

Saya pilih gemukkan iman!.


Nampaknya lepas ini kena merancang diet pemakanan iman pula. Agak-agak apa supplementnya ya?

No responses yet

Jul 09 2009

ustazah-engineer

Kemahiran Keibubapaan Mendepani Cabaran

Filed under Artikel Muslimah

Artikel saya dalam Majalah Muslimah, ruangan topik, bil 216 (Julai 2009)

muslimah2165


Institusi kekeluargaan di Malaysia sedang menghadapi pelbagai cabaran dan perubahan. Sejajar dengan itu, peranan institusi keluarga turut berubah dari masa ke semasa bersesuaian dengan faktor persekitaran dan situasi semasa. Antara peranannya ialah menjadi agen utama dalam proses sosialisasi anak-anak, proses perkembangan dan pembesaran mereka dan pembangunan potensi setiap ahli keluarga. Seterusnya, kefungsian keluarga dan peranannya melebar sebagai pencorak perkembangan dan kesejahteraan rakyat.


Memandang kepada fungsi dan peranan tersebut, institusi keluarga perlu berdaya tahan menangani cabaran-cabaran hidup yang sangat kompleks seperti penjagaan anak di kalangan pasangan dwi-kerja, keibubapaan anak remaja dan tanggungjawab kepada ibu bapa yang telah tua. Justeru, institusi keluarga perlu diperkukuh dan diperkasa dengan ilmu, pengetahuan dan kemahiran yang terkini secukupnya.


Kesan Kehidupan Kekeluargaan


Keupayaan keluarga untuk mengharungi arus pemodenan dan pembangunan menjadi isu utama yang perlu diberi perhatian. Oleh yang demikian, menurut Dato’ Aminah Abdul Rahman, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), beberapa kesan kehidupan kekeluargaan perlu diambil perhatian.


Antaranya daripada aspek pendidikan kemahiran keibubapaan berteraskan tanggungjawab bersama suami isteri perlu diutamakan agar peranan yang dimainkan lebih signifikan membina keluarga yang sejahtera.


Keduanya, intervensi untuk membimbing golongan remaja perlu diperhebatkan. Penglibatan keluarga dalam program pemulihan remaja bermasalah dan hukuman seperti kerja-kerja khidmat masyarakat dan kaunseling boleh dikuatkuasakan.


Ketiganya, memberi perhatian yang khusus dan berterusan terhadap program-program yang berbentuk ‘support system’ perlu dilaksanakan. Menerusi sistem sokongan yang diwujudkan sama ada di tempat kerja atau dalam komuniti, dapat membantu keluarga untuk berkongsi masalah dan mendapatkan maklumat-maklumat terkini.


Antara cadangan yang dikemukakan oleh beliau ialah memperluaskan penyediaan pusat penjagaan anak di tempat kerja dan pemberian subsidi untuk menampung kos penjagaan anak yang semakin tinggi. Selain itu, peruntukan cuti khas kepada ibu bapa seperti membawa anak ke hospital, menghadiri mesyuarat PIBG dan menghadiri aktiviti sukan anak-anak juga wajar dipertimbangkan.


ICT – Panduan Untuk Keluarga


Hari ini kita melihat menifestasi ‘Teknologi Maklumat dan Komunikasi’ atau ringkasnya ICT begitu pelbagai.. Di pihak ibu bapa, kesedaran terhadap cabaran-cabaran menifestasi ini amat penting bagi membantu ibu bapa memastikan ICT dimanfaatkan dan anak-anak diberi perlindungan dari penyalahgunaan teknologi ini.


Dalam Seminar Intitusi Keluarga Mendepani Cabaran Semasa anjuran IKIM pada 26-27 Mei yang lalu, Tn. Shaikh Mohd Saifuddeen, Pengerusi Eksekutif Yayasan Ilmuwan telah membentangkan satu kertas kerja bertajuk Anak-anak dan Perkembangan Terkini Teknologi Maklumat: Panduan untuk keluarga.


Melalui pembentangan tersebut, dikongsikan serba sedikit maklumat lima aplikasi berasaskan internet yang popular dilayari oleh anak-anak zaman sekarang. Dahulu, kebimbangan ibu bapa adalah capaian anak-anak kepada laman-laman ponografi. Namun pada hari ini telah terdapat alternatif-alternatif lain antaranya ialah sembang internet, permainan atas talian, blog, jaringan sosial internet dan perkongsian fail.


Menifestasi ICT bukan setakat komputer dan internet. Alat seperti telefon bimbit juga merupakan salah satu manifestasi ICT. Zaman ini, telefon mudah alih boleh digunakan untuk menerima gambar, animasi dan video, tidak seperti peringkat awal penggunaannya yang menghantar dan menerima teks sahaja.


Pastinya kita selalu melihat berita di dada-dada akhbar bahawa video-video yang bersifat peribadi dan lucah diambil menggunakan kamera video pada telefon mudah alih. Kemudian, video tersebut ada yang dihantar menggunakan perkhidmatan Sistem Pesanan Multimedia (MMS) atau dimuat naik ke laman sesawang, blog atau portal. Jika kemudahan ini tidak dipandu oleh ibu bapa, ia akan membawa penyalahgunaan yang mengundang kemudaratan.


Pada waktu yang sama, pembentang juga mengusulkan kepada ibu bapa agar jangan melupakan ancaman-ancaman yang lebih kecil sifatnya. Beliau memberi contoh tentang masalah ketagihan internet apabila anak-anak menghabiskan terlalu banyak masa di hadapan komputer dengan bermain permainan internet, bersembang, memuat turun video, mengemas kini blog dan aplikasi jaringan sosial internet serta macam-macam kemudahan lagi.


Jelas beliau, ketagihan internet yang tidak dikawal boleh membawa masalah besar kepada anak-anak terutamanya dari sudut kesihatan (kurang tidur, kurang rehat dan makan tidak teratur), proses sosialisasi (lebih mudah berinteraksi dengan kawan-kawan secara siber berbanding bersemuka), aspek spiritual (lebih gemar menggunakan internet daripada menggunakan masa bagi tujuan ibadah) dan konteks pembelajaran (masa bagi mengulangkaji digunakan bagi tujuan internet).


Namun demikian, dalam kita membicarakan risiko dan ancaman yang dibawa oleh ICT, jangan dilupakan akan manfaat yang diraih daripadanya. Segalanya terletak dibahu kita untuk memberi pilihan kepada anak-anak sama ada memilih jalan selamat atau jalan yang membawa mudarat. Sebagaimana ibu bapa memberikan garis panduan kepada anak-anak untuk menjalani kehidupan nyata, begitulah panduan yang harus diberikan kepada anak-anak dalam menjalani kehidupan siber.

topik_216

Aktiviti Yang Sihat Untuk Anak-anak


Peranan keluarga sebagai agen sosialisasi utama tidak pernah berubah dengan peredaran masa. Anak-anak bergantung kepada ibu bapa untuk bimbingan dalam semua aspek kehidupan. Ibu bapa juga mempunyai tanggungjawab paling signifikan tentang minat dan nilai remaja dalam aktiviti tertentu (Shannon, 2006).


Kemahiran keibubapaan adalah peranan paling asas dan utama yang menentukan remaja berkembang secara positif dan melibatkan diri dalam aktiviti sihat atau sebaliknya. Menurut Dr. Siti Nor Yaacob, Pensyarah Kanan Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, UPM, terdapat ciri atau peranan ibu bapa yang boleh mempengaruhi perasaan positif remaja dan menghindari mereka daripada aktiviti bermasalah. Antaranya adalah:


Pengawasan ibu bapa
. Pengawasan memerlukan ibu bapa menetapkan peraturan dan batasan kepada tingkah laku remaja untuk membentuk kawalan kendiri mereka. Remaja yang mempunyai kawalan kendiri akan membuat pertimbangan kesan penglibatan mereka dalam aktiviti yang dilakukan.


Penglibatan ibu bapa
. Ibu bapa juga harus melibatkan diri dengan aktiviti di sekolah dan luar sekolah. Kekerapan berhubung dan berbincang dengan guru akan melahirkan anak yang beraspirasi tinggi dan kurang masalah tingkah laku.


Keputusan keluarga
. Ibu bapa perlu berkongsi dengan remaja apabila membuat keputusan tentang aktiviti dan tingkah laku remaja. Jangan terlalu memberi kebebasan kepada remaja dalam membuat keputusan sehingga mengabaikan aspek kesihatan dan keselamatan mereka.


Rakan kepada anak.
Ringkasnya, ibu bapa menjadi kawan kepada anak-anak untuk membina keterbukaan dan selesa untuk berkongsi pandangan, masalah dan perasaan masing-masing.


Luangkan masa
. Ibu bapa perlu berusaha untuk meluangkan masa dengan berbual, berkongsi cerita dan melakukan aktiviti bersama. Masa bersama boleh mewujudkan kemesraan dan kasih sayang.


Jadi contoh
. Apa yang dilakukan oleh ibu bapa lebih berkesan dinilai oleh anak-anak berbanding apa yang dilkta. Ibu bapa yang terlibat dengan aktiviti komuniti pula mungkin memberi mesej yang jelas kepada remaja tentang aktiviti yang sihat berbanding ibu bapa yang pasif dalam komuniti.


Isi jiwa anak dengan penghayatan agama.
Remaja yang taat kapada Tuhan akan mengawal diri daripada aktiviti yang tidak bermanfaat buat dirinya. Selain ibu bapa menjadi contoh dalam aktiviti spiritual, penerapan nilai yang sama perlu diusahakan dalam pembentukan dan perkembangan remaja. Selalulah berdoa untuk kebaikan mereka.

One response so far