Archive for August, 2009

Aug 28 2009

Profile Image of ustazah-engineer
ustazah-engineer

Sebat Menjadi Debat, Kita Take Part

Filed under Isu Semasa


Harap saya tidak terlewat untuk melontar pandangan berkaitan isu sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor baru-baru ini. Pelbagai pihak telah menebarkan pandangan masing-masing dari pelbagai dimensi. Ada yang memuji, mengkritik, mencemuh dan mempersoalkan akan relevennya peruntukan undang-undang sebat syarie ke atas model sambilan terbabit.


Walau sebanyak manapun pandangan tersebut, hanya ada dua yang membezakan sudut pandang masing-masing.


Pertama, pandangan dari yang bercita-cita mahu melihat syariat Islam tertegak di Malaysia. Kedua, pandangan dari yang bercita-cita sebaliknya.


Kita sangat meraikan pandangan dari ulama’ dan golongan agama lain. Namun begitu amat menyedihkan, mereka tidak menjadi golongan yang mempunyai autoriti besar untuk menerangkan kepada masyarakat apabila berlaku isu-isu Islam sebegini.


Bukan mulut mereka yang tertutup rapat tetapi kenyataan mereka telah ditutup rapat dari diketengahkan kepada khalayak secara meluas, tepat dan jelas.


Maka, siapakah yang mempunyai autoriti bersuara?


NGO Sisters In Islam, menteri-menteri dan pihak-pihak yang mempunyai kuasa untuk kenyataan mereka didedahkan. Amat malang sekali, kenyataan yang pincang dan songsang begitu yang menjadi halwa telinga dan tatapan mata masyarakat yang tidak tahu dan faham Islam.


Lihat sahaja di dada akhbar dan sumber media lain, bagaimana kenyataan mereka mendominasi malah menjadi tumpuan utama sungguhpun berbau persepsi negatif tentang Islam. Persepsi negatif tersebut berselindung di sebalik alasan mahu menjaga nama Islam dan imej negara. Masyarakat semakin dikelirukan dengan putar belit tali barut liberalis atas nama keadilan dan hak asasi manusia.


Saya mengungkit kembali kenyataan SIS. Kata mereka, sebat tersebut mendiskriminasi wanita dan bercanggah dengan hak asasi kemanusiaan. Persepsi positifnya; mereka mahu membela wanita. Itu tindakan yang benar dan betul dan masyarakat menyambut baik.


Sebaliknya, terselindung persepsi negetif tentang Islam iaitu undang-undang syariah tidak berupaya membela wanita sebaliknya berunsur zalim dan penindasan. Persepsi negatif ini dilindungi di sebalik subjek alasan pembelaan dan keadilan wanita.


Sebenarnya, sudah banyak respon balas yang dihujahkan oleh golongan agama. Kita menyambut baik wibawa ilmu mereka. Meskipun begitu, saya percaya, golongan yang menolak secara halus undang-undang syariah ini pasti akan mencipta pelbagai alasan lagi. Selagi ideologi mereka tidak kesampaian, selagi itulah mereka akan mencipta alasan, sekalipun alasan itu alasan bodoh.


Tiada pakar yang mahir merotan? Tidak menjumpai rotan yang sesuai?. Saya tidak pasti, adakah dua alasan ini alasan yang sangat, sangat, sangat releven untuk gagasan hebat 1 Malaysia. Mungkin mereka belum habis ronda 1 Malaysia untuk mencari perotan dan rotan yang sesuai.


Pada pandangan saya, inilah masanya untuk para aktivis Islam berada di belakang ulama’ untuk mengangkat isu ini di tengah-tengah masyarakat Islam dan bukan Islam.


Jadikan isu ini sebagai gelombang kecil untuk pelaksanaan undang-undang syariah di Malaysia. Kita kurang media, apalagi, mulut kitalah yang harus digerakkan menjadi media.


Perkara yang perlu dijelaskan bukan sahaja seputar bahaya arak dan kelebihan hukum Islam. Satu perkara yang perlu dijelas bersama ialah propaganda liberalis untuk menyekat pelaksanaan undang-undang syariah di Malaysia. Propaganda mereka semakin mengelirukan.

No responses yet

Aug 27 2009

Profile Image of ustazah-engineer
ustazah-engineer

Mengejar atau Terkejar-kejar

Filed under Doktor Hati, Tarbiyah


Sehingga artikel ini ditulis, Ramadhan sudah memasuki hari yang kelima. Hari kelima Ramadhan perlu lebih baik dari hari yang keempat. Begitu juga hari yang keenam dan seterusnya, perlu lebih baik dari hari ini.


Ramadhan kelima, bermakna ruang dan masa ibadah sudah memasuki fasa kelima kali ganda. Bukan pada kuantiti, bahkan pada kualiti. Ia menepis sikap salah faham individu yang menyingkapi Ramadhan dengan mengejar ‘banyak pahala’ dengan mengejar ‘banyak ibadah.’


‘Banyak ibadah’ memang dapat dikejar tetapi akhlak, adab, cara, sistem dan uslub yang dirangkum dalam satu perkataan iaitu ‘kualiti’ dibiar keciciran. Maka, ibadah tidak menghasilkan kesan dihati atas sifat tidak berhati-hati dan teliti dalam memenuhi tuntutan ibadah yang sebenar.


Mengejar ibadah dalam keadaan terkejar-kejar. Ini yang sering terlihat dalam majlis tadarus al-Quran mahupun membaca al-Quran secara individu. Masing-masing meletakkan tekad untuk khatam al-Quran dalam jangka masa tertentu.


Justeru, terlihatlah pelbagai kelajuan dalam proses pembacaan untuk mencapai khatam itu. Ada yang kelajuan membacanya di luar kebiasaan. Ada yang membaca secara luar biasa. Perihal adab membaca diletak ke tepi, tajwid dan tartil entah ke mana, yang penting matlamatnya khatam.


Awas dengan silap faham tentang ‘mengejar ibadah’ ini. Mengejar bukan dengan terkejar-kejar untuk melengkapkan ibadah, tetapi proses melengkapkan diri. Untuk melengkapkan diri, seluruh sifat seorang ahli ibadah itu yang harus diterapkan sepanjang proses pengamalan itu. Teliti, berhati-hati, tersusun, betul, cermat, khusyu’, tawadhu dan lain-lain sifat.


Begitulah dengan aktiviti tadarus atau membaca al-Quran. Teliti dan berhati-hatilah. Kuasailah adabnya. Baca dengan bertajwid dan bertartil. Biar lambat habis atau tidak berjaya khatam. Itu lebih baik dari khatam tetapi tidak menghasilkan sedikit pun pahala, beribadah dalam keadaan sia-sia dan menambah dosa sebab salah membaca.


Ingat bahawa al-Quran juga mempunyai satu kuasa. Kuasa melaknat kita!

No responses yet